Belajar di Bulan Puasa
TERDAPAT segelintir murid yang beranggapan puasa merupakan satu amalan yang menjadi halangan untuk belajar. Selalunya mereka mengaitkan amalan puasa ini dengan keadaan letih dan lapar yang boleh mengganggu proses pembelajaran.
Anggapan seumpama itu sebenarnya salah. Apabila disebut sebagai amalan sudah tentu ia mempunyai hikmah atau ganjaran di sebaliknya. Sebenarnya sepertimana yang telah diketahui bulan Ramadhan itu sendiri merupakan bulan yang mulia. Pada bulan itu setiap umat Islam disuruh meningkatkan lagi ibadah. Ilmu itu ialah satu amalan dan ianya merupakan satu ibadah. Oleh itu setiap ibadah yang dilakukan akan mendapat pahala atau ganjaran yang berlipat kali ganda jika ianya dilakukan secara ikhlas.
Oleh yang demikian amalan belajar serta menduduki peperiksaan di bulan Ramadhan ini amatlah baik. Menyedari hakikat ini murid-murid haruslah berusaha dengan mempelajari dan mengulang kaji pelajaran secara ikhlas dan bersungguh-sungguh. Semoga keikhlasan kita belajar serta kesanggupan kita menghadapi pelbagai cabaran akan mendapat petunjuk daripada Allah. Janganlah bulan puasa ini dijadikan alasan untuk mengelak diri kita daripada membuat persiapan menghadapi peperiksaan malah kita harus meningkatkan lagi usaha kita untuk belajar.
Murid-murid seharusnya mengambil peluang seluas-luasnya masa yang ada di bulan Ramadhannya ini dengan mengimbangi antara belajar dengan beramal yang dapat dilakukan seperti berikut:
• Beramal: Memastikan murid berpuasa sepanjang masa dengan tidak melanggari syarat yang boleh membatalkan puasa atau mengurangkan pahala. Murid juga harus meningkatkan amalan solat termasuk solat tarawih dan qiamullial.
• Berdoa: Banyakkan berdoa agar segala hajat kita yang baik itu akan dimakbulkan oleh Allah. Jadikan doa ini sebagai amalan sepanjang masa yang boleh menjadi benteng pada diri kita daripada menerima apa-apa musibah.
• Belajar: Tingkatkan usaha kita untuk belajar. Ingat! belajar di bulan Ramadhan ini banyak pahalanya. Jika menghadapi kesukaran jangan kecewa atau berputus asa. Ambil tindakan segera agar segala pembelajaran boleh difahami dan mendapat penjelasan yang sepenuhnya.
Semoga bulan Ramadhan yang mulia ini akan meningkatkan kemulian diri kita dalam proses membuat persediaan menghadapi peperiksaan. Ingat! setiap amalan yang ikhlas itu akan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah. InsyaAllah!
http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2009&dt=0824&pub=DuniaPendidikan&sec=Motivasi&pg=mo_01.htm
kan?
0 comments