Pengalaman Umrah dan Ziarah (PART 5)

Assalamualaikum,



Bersambung dari SINI. Harini (hari ke-6) merupakan hari terakhir kami di Madinah.Perkara pertama yang perlu kami buat sebelum meninggalkan bumi Madinah ialah Ziarah Wada' . Ziarah Wada' bermaksud selamat tinggal Ya Rasulullah. Kami perlu mengadap ke kubah hijau untuk berdoa buat kali terakhir di bumi Madinah ini. 

Selesai ziarah Wada', kami pulang ke bilik masing-masing untuk mandi sunat ihram dan menyiapkan diri dalam keadaan berihram. Yang lelaki pakai kain ihram yang berwarna putih itu manakala yang perempuan pakai pakaian yang menutup aurat dan niatkan pakaian tersebut sebagai pakaian ihram kita. 

Kami menaiki bas menuju ke Makkah. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 6 jam dari Madinah ke Makkah. Kami singgah di Masjid Bir Ali untuk bermiqat. Bir Ali adalah tempat miqat bagi penduduk madinah atau jemaah yang datang dari arah Madinah yang mahu mengerjakan Haji atau Umrah. Jarak daripada Masjid Nabawi ke Masjid Bir Ali adalah lebih kurang 10KM, manakala jarak daripada Bir Ali ke Makkah adalah lebih kurang 425KM. Ianyanya merupakan jarak miqat yang paling jauh tau dan para jemaah perlu menjaga pantang larang sepanjang berada dalam ihram.

Hasil carian imej untuk masjid bir ali
Masjid Bir Ali


Pada jam 11 malam akhirnya kami tiba di Makkah. Kami diberi masa 1 jam untuk masuk ke bilik hotel dan mengemas apa yang patut. Jadi pukul 12 malam baru kami bergerak ke Masjidil Haram untuk melakukan Umrah wajib. Untuk umrah wajib ni tak sempat nak tangkap gambar sebab masing-masing sibuk mahu menyelesaikan umrah yang wajib ini. Kami semua menunaikan umrah wajib di malam hari jadi tiada masalah kepanasan yang melampau kerana tidak berada dibawah terik panas matahari. Cuaca sejuk je kita itu so nice orang kata, Allhamdulillah.

Hanis dan Umi Hanis yang mendokong Mina memulakan tawaf mengelilingi kaabah bersama-sama. Namun,kami terpisah ketika melakukan tawaf. Antara perkara yang membatalkan pusingan tawaf kita adalah memusingkan badan ke belakang untuk mencari orang ataupun melakukan pusingan dengan niat untuk mencari orang yang terpisah dengan kita. Jadi umi Hanis dah pesan awal-awal kalau berpisah tak payah cari umi...terus je tawaf nanti kita jumpa je dekat saie. Apa itu tawaf? Tawaf merupakan perlakuan mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali. Tawaf adalah salah satu perlakuan ibadah yang dilakukan oleh orang muslim dan hanya dilakukan di Masjidil Haram. Tawaf perlu dilakukan dalam keadaan berwuduk.


Setelah selesai tawaf mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali, Hanis melakukan solat sunat tawaf. Setelah selesai solat sunat tersebut, Hanis terus menuju ke Saie. Saie merupakan perbuatan yang dilakukan dengan berlari-lari anak atau berjalan cepat sebanyak 7 kali ulang-alik yang dimulai dari Bukit Safa' dan berakhir di Bukit Marwah. Ibadah saie ini tidak memerlukan kita berada dalam keadaan berwuduk. Dan kita boleh berjalan bersama kawan-kawan tanpa membatalkan pusingan saie kita. Semasa saie ke 5 Hanis berjumpa dengan umi Hanis yang membawa Mina. Umi Hanis ketika itu baru pusingan yang ke-3 jadi Hanis ambil Mina dan berehat di tepi kawasan saie. Kemudian kami sama-sama beriringan menyelesaikan saie kami.



Setelah selesai melengkapkan 7 kali ulang alik ketika saie, akhirnya tibalah waktu untuk bercukur. Bagi lelaki lebih afdal dengan membotakkan kepala mereka tetapi tetap masih sah jika tidak membotakkan keseluruhan rambut. Bagi wanita cukup 3 helai hujung rambut sahaja sebagai syarat. 

Allhamdulillah, selesai sudah tawaf,saie dan bercukur. Ini bermakna sudah selesailah Umrah Wajib kami dan berakhirlah pantang larang yang perlu kami jaga dari mulai berniat ihram di Masjid Bir Ali tadi. Syukur Allhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Kami selesai semunya lebih kurang jam 3 ke 4 pagi jadi kami menunggu sebentar sehingga masuk waktu solat subuh untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Selepas solat subuh,kami pulang ke hotel dan kemudian pengsan kepenatan di dalam bilik...penat sangat sebab perjalanan+umrah dalam satu hari. Hanis rasa Hanislah paling lama tidur hehehe pukul 9 pagi baru bangun huhuhu memang tidur mati orang kata. Penat tapi puas hati sebab berjaya buat umrah ! Yeahh!!!

bersambung...(PART 6)



2 comments